Lembah Bujang

Seni bina awal Kedah, Candi, model bangunan, dipamerkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur
Tapak Lembah Bujang

Lembah Bujang merupakan kawasan yang dikenali sebagai tempat Tamadun awal di Tanah Melayu,(termasuk Sungai Batu), proses cari gali telah mendedahkan sisa jeti, tapak peleburan besi, dan binaan batu-bata yang bertarikh 110M [1][2][3] Binaan tapak menunjukkan sejak awal abad Masihi hingga 20 Masihi, Lembah Bujang mempunyai perhubungan yang sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa negara di Asia, China, Asia Barat dan India.

Perkembangan pelabuhan entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari China, Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi pengabdian terhadap Buddha, struktur bandar atau pelabuhan yang tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai tempat terasasnya negara pesisiran Kedah Tua.

Sungai Mas dan koridor Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah yang merentasi zaman prasejarah kebudayaan Hoabinhian, protosejarah dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah menjangkau seratus lima puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan merekonstruksi sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan dan belum menemui titik pertemuan.

Status dan potensinya yang diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah Tua - Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang terbilang.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search